Wednesday, December 07, 2005

ISLAM IS PEACE

Islam itu aman dan jihad itu syurga mu.

Apa yang kita faham tentang perkara diatas. Sana sini kita mendengar kisah percetusan perang saudara, sana dan sini. Afghanistan, Iraq, Pakistan, Indonesia dan entah dimana lagi. Itu dalam perjuangan bangsa dan agama. Bagaimana pula perjuangan dalam kehidupan, rumahtangga dan juga kekeluargaan. Indahnya lukisan kerana warna, indahnya nama kerana bahasa, indahnya jiwa kerana rohaninya.

Mari kita renungkan siapa diri kita, kemana arah tujunya, apakah matlamat kita dan seterusnya.

Dimana jihad kita sebagai seorang perempuan? Dimana letaknya pula jihad seorang lelaki. Bagi pihak wanita inginku kupaskan sedikit apa yang terlintas dan apa yang dapatku kaitkan sebagai seorang perempuan, isteri, ibu dan kekasih.

Perempuan sentiasa dipersalahkan apabila sesuatu dalam rumahtangga berlaku atas dasar banyak perkara. Tidak semua perempuan dapat meluahkan apa yang terbuku didada maupun didasar hati. Jika adapun ianya sentiasa dikuburkan demi maruah dan kehidupan anak-anak. Tapi dimana haq wanita itu sendiri?

Untuk mengatakan bahawa perempuan tidak mampu tanpa sokongan lelaki, ia tidak lagi berlaku sekarang. Wanita sekarang disokong penuh oleh Kementrian Pembangunan Wanita dan Keluarga. Wanita tidak lagi patah arah dan hala tujuan.

Namun tidak semua wanita sanggup untuk mengambil keputusan singkat demi hati dan perasaannya sendiri. Ramai wanita yang menguburkan kedamaian hatinya demi anak yang sedang membesar dan menyimpan pekung dan nanah.

Mengapa, adakah kerana lelaki tidak pandai menggambil hati, bertanggungjawab ataupun prihatin. Namun tidak ramai dan tidak seberapa lelaki yang tampil hadapan mendabik dada mengatakan memang salah mereka atas segala yang berlaku.

Kebanyakan pula tidak sanggup melepaskan isterinya kerana sayang tetapi demi cinta dan tidak mahu membuat dosa mereka rela lari dan berkahwin diceruk rantau. Aku sendiri pernah di pelawa ke utara untuk dinikahi. Tapi sayang aku rela tidak bersuami dari dibawa kepelosok masalah yang bakal menyusahkan aku dan anak-anak dengan isu ini kemudian hari.

Mengapa lelaki jarang dipersalahkan? Mengapa orang selalu berkata “wanita tak pandai jaga suami”. Mengapa orang berkata “itulah kau tak pandai ikat perut suami”, mengapa orang kata “rupa macam nyonya jual sayur, bau hapak dan hanyir kerana itu laki cari daging fresh”. Tapi mengapa orang tidak mempersoalkan lelaki yang botak, perut boroi dan rupa tak tentu arah itu bukan kerana dia tak pandai menjaga diri.

Apakah tanggungjawab sebenar seorang lelaki, suami dan ayah? Hanya menyediakan makan minum, tempat berlindung dan juga menyekolahkan anak-anak? Kita banyak membaca dari kitab apa yang patut disediakan oleh seorang lelaki, suami dan ayah seperti yang tertera diatas. Wanita di haruskan disediakan seorang pengasuh atau pelayan bagi melaksanakan tugas-tugas dirumah. Rasionalnya supaya dengan adanya pembantu atau pelayan isteri dan ibu itu dapat melayani suaminya lebih dari yang kita lihat sekarang.

Disebalik penat bekerja dipejabat, dirumah pula harus berkejar dengan masa untuk melaksanakan tugasan rumah, mencuci, memasak, memastikan homework anak terlaksana dengan licin. Dimanakah tenaga wanita itu setelah seharian bekerja dan menjadi ibu dan isteri?

Dimalam hari dikala isteri perlu meluruskan dan merehat kan badan, suami pula minta dilayani. Tiada seorang isteri yang mengeluh apabila melayani karenah seorang suami jika suami tahu menghargai penat lelah dan tanggungjawab seorang isteri.

Diantara pengalaman aku ke balai polis diatas kes yang aku lalui. Pegawai polis sendiri mengatakan “kadang-kadang suami atau lelaki ini banyak lupa tentang satu perkara. Apabila marah kadang-kadang tak ingat kaki tangan pun bercakap sama”. Kalaulah kemarahan itu ditukarkan kepada senda gurauan isteri yang penat pun akan kalah juga dengan taktik yang digunakan. (tackling the emotions is the easiest way to get to a woman actually but how many men knows about this?).

Itu dari Jabatan atau fail polis. Jabatan Kemasyarakatan dan Sosial pula banyak mendedah kan bagaimana teruknya perempuan atau isteri yang dipukul dan di arahkan kepada mereka untuk tujuan bantuan dan perlindungan namun isteri tersebut tetap pulang kepada suami mereka demi sayang dan cinta yang termeterai satu waktu dulu. Mereka sanggup dipukul dihina dan di sepak terajang hanya untuk memastikan anak-anak dan kehidupan mereka dilindungi oleh seorang lelaki dan suami. Namun apa yang diperolehi mereka? Aku berhenti dari mengunjungi tempat itu kerana tidak tahan melihat keadaan mereka dan aku sendiri tidak tergamak untuk melaporkan apa yang terjadi. Aku menutup mulutku demi tidak mahu dia diseret.

Woman Association Organisation pula ditubuhkan untuk memberi perlindungan dan tempat berteduh bagi wanita yang teraniaya. Manakala Woman of Islam menawarkan tempat bagi wanita islam mengadu dan menawarkan khidmat nasihat guaman tentang hal rumahtangga. Tetapi berapa ramai yang tampil membuka pekung didada?

Jabatan Agama Islam pula mengakui mereka di bayar adalah untuk mendamaikan dan juga untuk mengamankan rumahtangga yang kucar kacir. Memang banyak kes yang ditanggani setiap hari. Namun sejauh manakah seorang wanita mau melangkah melepaskan diri dari sangkar perkahwinan dengan mudah. Belum ada dan jika ada sangat kurang. Dan sampai bilakah seorang wanita sanggup bertahan mempertahankan rumahtangga yang tanpa rasa, kasih sayang dan harmoni? Hanya wanita itu sendiri yang dapat menjawab.

Aku dahulu yang hanya membaca kisah-kisah ini dimajalah perempuan dan wanita tetapi apabila kakiku diheret ketempat dimana sepatutnya maruah dan juga haq seorang wanita dipertahankan aku cuma dapat menelan apa yang ditaqdirkan. Walau aku cuba pertahankan dan cuba untuk menutup mata namun akhirnya yang tertulis itu tetap akan tertulis tidak mungkin dapat dipertahankan. Namun dapatkah kita merasakan apa yang kita tonton dipersada dunia ini. Atau kita dapat mencemuh apabila didepan mata kita terjadi persengketaan rumah tangga. Kita tidak tahu apa sebenarnya didalam rumahtangga itu sendiri. Namun manusia banyak yang mahu menjadi hakim dalam mahkamahnya sahaja. Tanpa merasa peritnya, tanpa merasakan kenapa ada persengketaan, kenapa perlu orang lain atau ketiga untuk menghalang sengketa berterusan dan mengapa ada orang ketiga yang melihat itu satu peluang.

Hanya mereka yang tahu apa sebenarnya yang terjadi, yang dihadapi dan ditanggani. Kita hanya mampu mendoakan mereka dapat menyelesaikan dengan cara yang terbaik yang dianjurkan oleh islam. Maka itu sesungguhnya islam itu sangat halus dan sangat aman, maka berjihadlah kita kearahnya. Mengapa islam sentiasa ada cara-cara dan bentuk yang berlainan. Mengapa islam membenarkan poligami, mengapa islam mengwajibkan khatan, mengapa islam mengwajibkan perkahwinan, mengapa islam menganjurkan mandi junub dan mengapa islam menganjurkan silaturahim. Dan berapa ramai antara kita yang menelusi apa yang tertulis disini. Berapa ramai yang mahu memikirkan cara yang terbaik adakah yang mudah dan cepat, atau yang lambat dan dilihat dari segala arah?

Hanya hati yang diwarnai iman dan taqwa dapat menelaah segalanya ini dengan lapang dan tenang lagi aman. Jiwa mana yang tidak ada hasad dengki? Sedangkan Yusuf r.a. sendiri di khianati abang-abangnya. Mengapa Rabiatul Adawiah tidak berkahwin hanya kerana mengsohorkan dirinya kepada allah. Setiap yang terjadi itu dengan perintah NYA juga. Kun Fa Ya Kun maka jadilah ia. Kita hanya mampu merancang dan tuhan yang menjelaskan segalanya.

Hari ini kita hilang satu esok diganti dengan tiga. Maka pilihlah yang terbaik bagi diri kamu sendiri. “Sesungguhnya perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik juga”. Sekian lama aku mengkaji makna dan apa yang tersimpan dalam ayat tersebut akhirnya jelas apabila aku membukakan mata hati untuk melihat apa yang ingin tuhan perjelaskan dengan apa yang terjadi. Allah membalas setiap satu dosa kita dengan segera seperti mana kita meminta dan berdoa setiap hari. Hanya allah yang menyimpan segala isi dan rahsia dibumi ini. “Dunia dan isinya MILIKKU, percayalah PADAKU, mintalah KEPADAKU. Nescaya AKU kabulkan permintaanmu”

Semuanya ini semakin nyata padaku. Segala yang kuinginkan telah kuperolehi, insyaallah kamu mungkin juga. Doaku agar tiada lagi penyakit rohani yang membelengu hidupku agar segala yang kuperlakukan mendapat restu dari NYA jua. AMIN…

Date released: 071205 (1.43am)
Currently listening: Rhythm of Twinkling Stars
Mood: content

No comments: