Sunday, September 04, 2005

Persimpangan

Apa yang kuingini semuanya didepan mata segalanya seperti hanya menunggu masa. Jalan dan liku yang ingin kutempuhi hanya perlu ku pilih. Tiada persimpangan yang tidak dapat di lalui kecuali dengan keinginan sendiri. Hingga kini aku belum lagi dapat memenuhi yang mana satu.
Anak-anak yang masih kecil masih perlu perhatianku, memperlahankan langkah. Namun tidak menghalangku meneruskan. Pokok pangkalnya hati juga. Aku tidak tahu samada harus aku teruskan atau biarkan ianya seketika dulu.
Walau apa pun jua hari-hari yang kulalui dengan tenang. Tiada lagi mengejar masa untuk pembahagian kasih sayangku untuk anak-anak. Aku bangga anak-anak boleh menilai yang terbaik untuk diri mereka.
Aku tidak mahu memaksa malah lebih suka menjadi teman pada mereka.
Setiap kali diajukan soalan, tak perlukah aku mempunyai seorang lelaki dalam kehidupanku? Hari-hari yang kulalui sekarang ini terasa amat mudah daripada dahulu. Segala keputusan yang ingin ku lakukan terletak ditanganku sendiri. Dan untuk itu jika aku tersalah langkah aku tidak boleh menuding sesiapa kerana akulah yang patut dipersalahkan. Kerna itu aku harus bijak berfikir dengan sebaiknya.
Apa lagi yang ku ingin kan dari kehidupan ini? Segala-gala ada didepan mata. Rumah untuk melindungi aku dari hujan dan panas tersedia menantiku pulang dari kerja. Anak-anak yang comel sentiasa menanti dengan senyuman dan tangan yang terbuka untuk memelukku dengan penuh kasih sayang sekembalinya aku dari tempat kerja. Kereta yang boleh membawa ku dan anak-anak kemana saja kuinginkan. Sedikit wang untuk dibelanjakan bila perlu berbelanja lebih.
Ya tuhan,
Aku bersyukur dengan nikmat dan rahmatmu. Walau dugaan demi dugaan kau berikan namun aku masih boleh tersenyum dan ketawa malah bersyukur dengan segala rintangan itu. Kerana dengan itu aku menjadi lebih sabar dan tabah menempuh hari-hari yang mendatang.
Aku merasa segala kemanisan kehidupan dan kepahitan di waktu aku masih muda. Ia menjadikan jiwa ku kental, yakin, mandiri dan mengenali diri ku sendiri.
Semakin aku diduga semakin aku mendekatkan diri pada mu tuhan. Semakin aku bersyukur kehadratmu ilahi.
Aku tidak pernah kaya harta tapi kau perkayakan hati nurani ku untuk lebih menyayangi yang berada disekelilingku. Ya tuhan rahmah mu dan hidayahmu amat besar nilainya. Saatku menadah tangan memohon kehadratmu, saat itu airmata ku jatuh merasakan betapa kerdilnya aku. Sekuat mana pun aku, aku tetap memerlukan mu. Ya tuhan sesunnguhnya aku sering terlupa tetapi kau sentiasa mengingatkanku.
Biar persimpangan yang kau turunkan amat membuntukan pada waktu dan ketika itu. Kealpaanku membuatkan aku memburu duniaku dan melupakan dirimu. Ya tuhan kembalikan aku kedunia ciptaanmu. Abadikan aku dalam keindahan nur mu. Berikan aku cahaya dan jalanmu agar aku dapat menghayati dirimu yang sebenarnya.
Kembalikan kasih yang hilang untuk dirimu. Aku bersyukur ya tuhan bahawa aku di beri peluang untuk memohon lagi dari mu. Pada waktu senang, pada waktu susah kau sentiasa menemankan ku.
Ya tuhan, terimalah diriku yang serba daif ini. Bimbinglah aku dialam fana ini untuk mengenalimu dialam ruhku. Semuga apabila kembalinya aku, aku berada didalam lingkungan yang paling dekat dengan mu, penuh cahaya, penuh kesyahduan dan dipenuhi nur iman ku.
Bawa kupulang keasalku. Kerana persimpangan itu aku hanyut seketika. Tanpa aku ketahui kemanakah jalan tujuku. Yang hanya terpandang firdausi fantasi dialam syurgawi yang sementara.
Pulangkan aku kebumi nyata agar aku bisa menghambakan diri untukmu lagi…
Ya tuhan, aku berserah padamu. Taqdir dan kehidupanku adalah milikmu. Aku akur demi jalanmu yang dltentukan olehmu.

1 comment:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.